Thursday, January 6, 2011

Kenaikan harga emas tahun 2010 DALAM RM !!!!

Lewat sore 2010 yang lalu, saya menghabiskan masa menghirup kopi di bawah lembayung pokok Vuchidas di laman rumah bersama isteri tercinta. Bersama mengimbau kembali suka duka pahit manis yang terakam sepanjang tahun 2010, antara yang berjaya dicapai,yang tercapai mahupun yang tak tergapai..semuanya telah berlalu & pastinya menjadi teladan & sempadan untuk mengharungi setahun lagi usia di bumi Allah ini. Kopi Hai Peng yang suam-suam enak dihirup sambil senyum terukir di bibir. Alhamdulillah syukur kepada Illahi. Dengan ilmu kurniaan-Nya, dengan ilham anugerah-Nya & dengan kecerahan akal fikiran yang dihadiahkan-Nya, investasi emas ternyata salah satu pencapaian yang menenangkan dada sepanjang tahun 2010 yang lalu.


Kepada sesiapa sahaja yang memilih emas sebagai salah satu portfolio pelaburan, maka rata-rata akan tersenyum lebar dengan pulangan pelaburan masing-masing. Ramai yang mewar-warkan kenaikan emas pada tahun lepas lebih daripada 25%. Memang betul, tetapi itu adalah figura dalam USD. Angka itu lebih tepat digunakan untuk pasaran Amerika Syarikat, kerana merekalah yang akan membandingkan samada kenaikan kos sara hidup terkesan atau tidak dengan kenaikan emas. Untuk kita, saya lebih selesa & rasanya lebih jujur jikalau umumkan kenaikan harga emas dalam Ringgit Malaysia. Lebih 'berpijak di bumi nyata' rasanya.

Berikut adalah graf kenaikan harga emas yang saya bandingkan antara kenaikan dalam USD & RM.



Harga emas KITCO pada awal Januari 2010 ialah USD1121.50/oz.
Harga emas KITCO pada akhir Disember 2010 ialah USD1405.50 /oz.
....kenaikan sebanyak 25.3%.

Nilai tukaran wang RM/USD pada awal Januari 2010 ialah RM3.3971.
Nilai tukaran wang RM/USD pada akhir Disember 2010 ialah RM3.0835.

Jadi,
Harga emas dalam RM pada awal Januari 2010 ialah RM3809.85/oz.
Harga emas dalam RM pada akhir Disember 2010 ialah RM4333.86/oz.
....kenaikan sebanyak 13.8%.

Kenaikan harga emas dalam USD adalah sebanyak 25.3% berbanding kenaikan harga emas dalam RM dapat dilihat adalah sebanyak 13.8%. Ya, kita masih lagi boleh tersenyum kerana dividen ASB yang 'gah' keuntungannya diumum saban tahun barulah hanya sekitar 8.75% setahun sahaja. Sudah tentu antara angka 25.3% & 13.8%, yang pertama itu lebih WOW, tetapi amatlah dituntut supaya kita menceritakan sesuatu yang sesuai & terkait dengan situasi di mana kita berada, supaya di penghujung jalan nanti, tidak ada yang berkata, "Nak, harga pak cik beli dulu sampai sekarang ni, sudah setahun, tak sampai pun 20%?? Anak cakap dulu sampai 27% kan??" Ya, barangkali boleh sahaja kita menjawab, "Oh yang itu dalam KITCO pak cik. Harga dalam USD." Takut-takut nanti Pak Cik itu menjawab, "Nak, pak cik tinggal di Malaysia. Pak Cik berurusniaga semua dalam ringgit malaysia. Pak Cik nak tahu nilai naik tu dalam RM jugalah. Pak Cik tak nak berhijrah ke Amerika nak...". Maka terloponglah kita nanti..

Kembali kepada kisah ekonomi..

Antara faktor utama kenaikan harga emas adalah kerana "Money Creation" di mana wang dicetak dari awang-awangan atau mengikut istilah finansialnya "Quantitative Easing". Faktor ini jugalah yang akan terus mempengaruhi harga emas pada tahun 2011.

Justeru, apakah sebab berbedanya peratusan kenaikan harga emas dalam USD & RM?


Sebabnya adalah kerana RM telah bertambah kuat  berbanding USD yang terus melemah. Sejarahnya, pada awal Januari 2010, tukaran matawang tersebut adalah RM3.40/USD & pada akhir Disember 2010, adalah sebanyak RM3.08/USD. Secara kiraannya, pengukuhan matawang RM terhadap USD adalah lebih kurang 9%.

Namun begitu, secara peribadi, saya tidak menjangkakan pengukuhan matawang RM terhadap USD akan berlanjutan untuk tahun 2011. Walaupun pada awal proses tersebut, ia dilihat sebagai tanda kuatnya Ringgit, namun jika ini terus berpanjangan, ia akan melemahkan daya saing eksport Malaysia, kerana kesannya, harga barang keluaran negara akan bertambah mahal & tidak kompetitif di pasaran antarabangsa.

Mahu atau tidak, Bank Negara pasti memikirkan suatu cara supaya duit kita tidak terus mengukuh dan merugikan pasaran eksport. Jika USD jatuh nilainya, maka Malaysia juga terpaksa menjatuhkan nilai Ringgit, sepertimana yang telah & sedang dilakukan oleh negara-negara lain terhadap One-eyed Dollar itu. (Klik di sini). Kesan daripada ini, mangsanya adalah pengguna-pengguna RM sendiri, di mana kuasa beli kita akan menjunam, barang-barang akan menjadi mahal. Salah satu alasan yang sering diberikan oleh media adalah kerana naiknya  harga minyak. Benarkah?


Sebahagian besar daripada kita merasakan bahawa harga barang-barang seperti kejar-mengejar pendapatan kita. Mengapakah daya beli kita menurun & bagaimana pula untuk menanganinya? Secara bertahap, kita harus lindungi hasil penat lelah kita daripada risiko inflasi dengan sesuatu yang daya belinya bertahan. Di sinilah, emas sabagai salah satu caranya. Masih ingat pada suatu cerita di zaman Rasulullah?

"Ali bin Abdullah menceritakan kepada kami, Sufyan menceritakan kepada kami, Syahib bin Gharqadah menceritakan kepada kami, ia berkata: saya mendengar penduduk bercerita tentang 'Urwah, bahwa Nabi SAW memberikan wang 1 Dinar kepadanya agar dibelikan seekor kambing untuk beliau; lalu dengan wang tersebut ia membeli dua ekor kambing, kemudian ia jual satu ekor dengan harga 1 Dinar. Ia pulang membawa 1 Dinar & satu ekor kambing. Nabi SAW mendoakannya dengan keberkatan dalam jual belinya. Seandainya 'Urwah membeli tanahpun, ia pasti beruntung." (H.R. Bukhari)

Kini, setelah 1400 tahun, pada zaman kita bernafas, harga kambing pun tetap juga 1 Dinar!!!

Semoga ia menjadi panduan kepada kita semua dalam membuat aturan pelaburan agar pulangannya mampu menyenangkan kita di masa depan.

Wallahu 'alam.

No comments: